Pelajar maut selepas tercampak di bawah treler 10 tan


Pelajar maut selepas tercampak di bawah treler


KUCHING: Seorang pelajar sebuah kolej swasta maut akibat digilis lori treler, manakala rakannya parah selepas kedua-dua mereka terperosok ke bawah lori berkenaan dalam satu kemalangan di Demak Laut, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang terbunuh ialah Tomy Terus berusia 21 tahun dan rakannya Gabriel Melaka berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah ekoran separuh daripada badannya juga digilis lori berkenaan.

Difahamkan, semasa kejadian, kedua-dua pelajar terbabit dalam perjalanan menuju ke kolej mereka di Demak Laut sebelum motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggangi mereka terbabas sehingga mengakibatkan mereka tercampak.

“Motosikal yang ditunggangi mereka hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke bawah lori treler yang membawa muatan jentera berat.

“Difahamkan, mangsa (Tomy) yang membonceng motosikal tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya mengalami kecederaan parah juga tersepit di bawah lori berkenaan,” kata sumber.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba Tabuan Jaya dikerahkan ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa yang tersepit.

“Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati dua mangsa iaitu seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan pemboncengnya telah disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik.

“Bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa (penunggang) yang tersepit di bawah tayar lori berkenaan menggunakan ‘rescue airbag’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya lagi, kedua-dua mangsa merupakan pelajar di Automotif Welding Institute of Sarawak (AWISAR).

Beberapa anggota polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching juga hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera parah juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »