Kerajaan negeri sumbang RM1 juta SMK St Teresa


Kerajaan negeri sumbang RM1 juta SMK St Teresa


KUCHING: Kerajaan negeri semalam menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Teresa untuk membantu membina semula dewan sekolah berkenaan yang ranap dalam kebakaran pada minggu lepas.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kepada   Pengerusi Lembaga Pengurusan SMK St Teresa Wong Mee King di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengetua SMK St Teresa Mary John.
Menurut Mary, pihaknya mempunyai beberapa pilihan bagi menggantikan bangunan dua tingkat yang musnah itu iaitu antaranya dengan membina semula bangunan yang sama pada anggaran kos RM4.9 juta atau membina dewan yang sama seperti yang sedia ada sekarang dengan kos kira-kira RM2.7 juta.

“Maka, RM1 juta daripada kerajaan negeri ini adalah sangat berguna bagi kami dan kami sangat bersyukur kerana kerajaan negeri dan Ketua Menteri telah membantu kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemu bual.

Menjelas lanjut, Mary berkata bangunan dewan dua tingkat berusia 45 tahun itu telah musnah 100 peratus yang menempatkan bilik guru, bilik muzik, perpustakaan, bilik menjahit, Bengkel Kemahiran Hidup, Bilik Bimbingan dan Kaunseling, surau serta tandas guru dan pelajar.

Ekoran itu, katanya sebahagian daripada keseluruhan 15 kelas di sekolah tersebut akan digunakan sementara untuk menempatkan bilik guru manakala beberapa kelas lagi digunakan sebagai bilik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Beliau menambah, memandangkan sesi persekolahan bermula hari ini selepas cuti peristiwa yang berakhir semalam, pelajar SMK St Teresa turut diberi pelepasan oleh Jabatan Pendidikan Negeri untuk tidak hadir sehingga 14 November ini.

Dalam pada itu, Mary berkata pihaknya turut merancang membina bilik guru dengan anggaran kos RM500,000 dan dijangka siap dalam masa enam bulan, di mana ia akan dilaksanakan sebaik sahaja peperiksaan SPM selesai.

“Kami juga memikirkan cara untuk mendapatkan bantuan daripada badan korporat seperti CMS dan pihak tentera bagi meminjam khemah yang ada pendingin hawa dan kami mungkin akan menempatkannya di padang.

“Pilihan lain adalah kontena untuk dijadikan bilik guru tetapi saya rasa ia sebenarnya bukan satu penyelesaian yang praktikal kerana sebuah kontena hanya dapat menampung kira-kira enam orang dan jika kita hendak membelinya ia terlalu mahal,” katanya.

Sehubungan itu, Mary berharap syarikat-syarikat korporat seperti Naim Cendera dan Petronas bermurah hati dengan membantu dari segi menanggung kos terutama bagi membayar syarikat pembinaan merobohkan bangunan yang musnah, yang dianggarkan kira-kira RM100,000.

Beliau turut menyeru syarikat-syarikat korporat lain di negeri ini turut tampil dengan sumbangan bagi membangunkan semula sekolah berkenaan.

“Kami merayu kepada orang ramai untuk menyumbang apa jua, yang pasti kami hargai,” katanya sambil menambah orang ramai yang ingin menyumbang juga boleh melayari laman Facebook ‘Save St Teresa’.

Mary juga berkata pihaknya akan memohon bantuan daripada Kementerian Pendidikan tetapi sebagai sekolah mubaligh, maka ia tidak dapat memberikan segalanya.

Bangunan yang musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 29 Oktober lepas dibina pada 1969 dan siap pada 1971.

Manakala SMK St Teresa diwujudkan pada 1885 dan merupakan sekolah ke-10 tertua di Malaysia.

Sekolah berkenaan kini mempunyai seramai 75 guru dan 1,200 pelajar. - Borneopost

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »