SERIAN: Pembinaan jalan ‘underpass’ (laluan bawah tanah) di bulatan Datuk Abang Kipali Abang Akip di Petra Jaya di sini bakal dimulakan bulan depan.
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, projek yang pertama seumpamanya di Sarawak itu sepatutnya dimulakan awal tahun ini bagaimanapun mengalami beberapa masalah tidak dijangka.
“Saya dimaklumkan oleh kontraktor dan konsultan projek bahawa mereka mengalami masalahn keadaan yang tidak dijangkakan di mana mereka perlu mengubah lagi rekaan.
“Namun saya juga diberitahu bahawa projek akan dimulakan pada bulan depan. Ia bukan dihentikan tetapi masih berjalan cuma kini kontaktor mengalami masalah dari segi tanah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Gawai 2015 Peringkat Negeri di Tarat Sentral di sini, semalam.
Manyin berkata projek yang diluluskan pada tahun lepas itu akan menyaksikan empat lorong bagi dua hala jalan dan memakan masa 18 hingga 20 bulan untuk disiapkan.
“Jika ia siap dan berjaya kami mungkin mempertimbangkan ‘underpass’ lain kerana ia menelan kos satu pertiga (1/3) kurang daripada kos pembinaan jejambat,” katanya sambil memberitahu kos pembinaan jejambat amat tinggi.
Pada tahun lepas kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi membina ‘underpass’ berkenaan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya terutama pada waktu puncak.
Mengulas mengenai perkembangan projek menaik taraf jalan dua lorong di Batu 10 dan Batu 15 di sini, Manyin berkata tender projek akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya memberitahu saya bahawa tender akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan berharap Jun atau Julai projek akan dimulakan.
“Projek ini menelan kos RM80 juta dan ia menelan kos tinggi kerana perlu memindahkan beberapa kemudahan seperti bekalan air dan elektrik yang terjejas,” katanya. - Utusan Borneo