Tiada agenda bebaskan Anwar dalam deklarasi dilancar Dr Mahathir‎


Agenda membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dimasukkan dalam gerakan terbaharu dilancarkan Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun para penyokong reformasi tetap mendesak supaya ia dimasukkan dalam deklarasi tersebut.


Dr Mahathir berkata, tumpuan pada masa ini ialah untuk memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan.

"Kita hanya menumpukan perhatian ke atas penyingkiran Najib," kata Dr Mahathir pada sidang media khas “Selamatkan Malaysia” di Petaling Jaya hari ini.

Sementara itu pada sidang media sama, peguam hak asasi manusia terkenal Datuk Ambiga Sreenevasan membuat gesaan supaya agenda membebaskan Anwar dimasukkan dalam deklarasi itu.

"Kita perlu memasukkan agenda membebaskan Anwar dalam deklarasi ini kerana dihukum secara tidak adil," kata Ambiga pada sidang media bersama Dr Mahathir.

Ketua Umum PKR itu sedang menjalani hukuman penjara sejak Februari tahun lepas selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara terhadap pendakwaan liwat kali kedua ke atasnya.

Hukuman itu merupakan kali kedua selepas kali pertama dijatuhkan atas kesalahan sama semasa zaman Dr Mahathir pada 1998 lalu.

Anwar dan pembangkang mendakwa pertuduhan itu sebagai konspirasi bagi menjatuhkan karier politiknya.

Dr Mahathir hari ini melancarkan satu gerakan dikenali sebagai Deklarasi Rakyat bagi mendapatkan sokongan untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.

Turut bersama pada sidang media itu ialah bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beberapa pemimpin utama pembangkang dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada pelbagai latar belakang juga hadir bagi menyatakan sokongan bersama dengan bekas perdana menteri paling lama itu. – 4 Mac, 2016.

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »