Kerajaan negeri Sarawak akan membantu bekas pelari pecut negara Watson Nyambek yang berdepan masalah kewangan, kata Tan Sri Adenan Satem hari ini.
Ketua menteri berkata, langkah itu diambil bagi mengiktiraf sumbangan beliau kepada negeri itu dan negara.
"Sememangnya wajar kita melakukan sesuatu untuk membantu beliau.
"Kami juga menghargainya jika sektor swasta boleh membantu," kata Adenan kepada pemberita selepas merasmikan pameran bergerak Senada Sejiwa di Kapit hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bagaimana Watson akan dibantu.
Digelar "The Flying Dayak" pada zaman kegemilangannya dulu, Watson, 40, yang masih memegang rekod Malaysia sebagai pelari 100m terpantas, semalam diisytiharkan muflis kerana gagal menjelaskan pinjaman sebanyak RM80,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad.
Hutang termasuk faedah, dilaporkan berjumlah lebih RM100,000, menurut beliau, diambil ketika memerlukan wang bagi membayar rawatan kanser bapanya yang kini sudah meninggal dunia.
Panduan Jana Wang Di Rumah Untuk Wanita!
Rekod beliau, yang dicatatkan pada 1998, adalah pada 10.3 saat.
Beliau kini merupakan jurulatih olahraga dengan Majlis Sukan Sarawak.
Timbalan Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak Datuk Alexander Nanta Linggi yang turut hadir pada majlis pelancaran pameran itu hari ini, juga berjanji membantu Watson.
Pemuda Barisan Nasional Sarawak juga memberi maklum balas kepada nasib Watson.
Ketuanya, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sayap itu akan mengatur pertemuan dengan bekas atlet itu tidak lama lagi "bagi memahami masalah yang dihadapinya dan mencari jalan bagaimana mereka dapat membantu".
Fadillah berkata, bantuan itu sebagai menghargai masa dan pengorbanan "anak Sarawak" itu yang pernah membawa kegemilangan dan penghormatan kepada negeri itu. – 5 Mac, 2016. - The Malaysian Insider