"Saya tak faham Bahasa Inggeris," itu reaksi pemain tengah Kedah Farhan Roslan yang mengalami kesulitan komunikasi setiap kali penolong jurulatih Ramon Marcote beri arahan sepanjang 90 minit menentang PKNS di Stadium Darul Aman pada Selasa.
Yang pasti ketiadaan ketua jurulatih Tan Cheng Ho beri kesukaran buat pemain Kedah terutama dalam memahami arahan dari penolong jurulatih kelahiran Sepanyol itu.
Farhan mengakui dia kurang fasih berbahasa Inggeris, gagal sempurnakan arahan dengan baik sehingga menjejaskan peluang Kedah untuk cipta keputusan yang lebih baik.
"Marcote ni, Saya tidak faham sangat bahasa orang putih, jadi sukar untuk saya pada perlawanan tadi. Pasukan melakukan yang terbaik pada malam ini, tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi kita untuk menang pada perlawanan ini," kata Farhan.
Anak jati Kedah ini bagaimanapun tanam keazaman untuk mengatasi situasi itu dalam perlawanan kedua di Stadium Selayang nanti.
Ramon akan terus di beri kepercayaan setelah Cheng Ho hanya akan pulang ke Malaysia pada 19 Disember depan.
"Pertahanan mereka agak baik. Saya akan buat yang terbaik untuk pasukan saya dan saya akan berikan hadiah kepada jurulatih saya yang tidak hadir pada malam ini," tambahnya.- StadiumAstro