Kevin Morais Didakwa Bocor Deraf Pendakwaan Kepada Sarawak Report
KUALA LUMPUR: Mendiang Anthony Kevin Morais didakwa membocorkan deraf pendakwaan terhadap seorang pesonaliti politik kanan ternama kepada pengasas dan Editor, Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.
Dakwaan itu dibuat adik Kevin, Charles menerusi akuan bersumpah (SD).
Charles mendakwa dia kenal tandatangan ringkas adiknya iaitu AK (Anthony Kevin) apabila melihat deraf pendakwaan itu disiarkan oleh Sarawak Report pada 30 Julai lalu.
“Saya dapati deraf pendakwaan itu dipinda (kerana kesalahan tatabahasa). Selepas mengkajinya, saya dapati orang yang memindanya ialah Kevin.
“Saya sudah biasa dengan tandatangan Kevin,” katanya.
Charles mendakwa dia percaya abangnya terlibat dalam siasatan rasuah RM27 juta melibatkan pemimpin negara.
Charles berkata, dia menghubungi Clare dan Editor Sarawak Report itu memberitahu, deraf pendakwaan itu dihantar kepadanya menggunakan email tidak bernama.
Katanya, Clare memberikan alamat emel yang digunakan penghantar deraf itu iaitu jibby@annoymousspeech.com tetapi emel itu telahpun disekat.
Charles berkata, dia yakin Kevin yang memberikan draf itu berdasarkan faktor;
1. Penggunaan nama Jibby pada alamat emel iaitu nama pengasuh mereka
2. Maklumat lanjut emel merujuk kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail
3. Kevin bertugas di bawah Gani ketika itu dan mempunyai akses maklumat
4. Kevin memberitahunya dia sedang menyiapkan tugas yang melibatkan personaliti politik kanan ternama terbabit
Selain itu, dakwa Charles, dia mendapati ada beberapa perkataan yang biasa digunakan Kevin turut digunakan dalam komunikasi Clare dengan pengirim deraf itu iaitu “No shit Sherlock” dan “Blardy’.
Pada 28 September lalu, seorang doktor tentera dan enam yang lain didakwa kerana membunuh Kevin.