PETALING JAYA: Mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais menamakan Gereja Our Lady of Lourdes di Ipoh, Perak dan dua adiknya sebagai pewaris harta.
Datuk Richard Dilaan Morais, adik kepada Kevin Morais mengesahkan perkara itu selepas menerima salinan wasiat daripada seorang peguam dari firma guaman di Ipoh.
Salinan yang sama juga dihantar ke gereja tersebut.
Memetik laporan sebuah portal, seorang lagi pewaris yang dinamakan ialah David Morais.
“Prosedur wasiat akan melalui proses yang sewajarnya. Harta yang disebutkan dalam wasiat termasuk hartanah di London.
“Gereja di Jalam Silibin pula adalah gereja di mana kami membesar di Ipoh dan juga dinamakan sebagai penerima harta,” ujar Richard.
Richard juga mengesahkan bahawa mayat Kevin telah dibakar pada hari Isnin lalu selepas dituntut dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur.
“Abu mayat masih disimpan sementara menunggu pengebumian yang akan diadakan di Gereja Our Lady of Lourdes kelak,” katanya.
Ditanya tentang dakwaan adiknya, Charles, beliau menggesa pihak polis menyiasat segera perkara itu.
“Saya menggesa pihak polis menyiasat dakwaan (Charles) Akuan Bersumpah itu. Ia dakwaan serius,” katanya.
Beliau berkata adalah penting untuk pihak berkuasa memastikan kebenaran dakwaan Charles memiliki pemacu USB yang dikatakan mengandungi maklumat penting. - FMT