Kota Bharu: Lelaki berusia 22 tahun ditangkap orang ramai di hadapan Masjid Muhammadi di sini, 10.20 pagi tadi berhubung kes culik kanak-kanak berusia 7 tahun, Jumaat lalu
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, ketika ditahan lelaki gelandangan itu sedang mengemis di lokasi kejadian.
Katanya, orang ramai yang melihat kelibat suspek kemudian menahan dan menyerahkan lelaki itu kepada polis.
Harian Metro hari ini melaporkan Aiman Kamarolzaman, 7, diculik lelaki tidak dikenali di Masjid Muhammadi Jalan Sultanah Zainab, Jumaat lalu.
Dalam kejadian 9 malam itu mangsa diculik ketika ayahnya, Kamarolzaman Mohammad, 50, sedang bersolat isyak.
Aiman bagaimanapun diselamatkan orang awam, 5.30 petang kelmarin selepas ditemui merayau meminta sedekah di pusat beli-belah, di sini. - Hmetro