Mayat PATI Ditemui Tersangkut


Kuala Lumpur: Tidak memiliki dokumen pengenalan diri dipercayai menjadi punca empat wanita warga Indonesia cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai Klang berhampiran Little India di sini.

Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, suspek nekad terjun apabila pihak berkuasa cuba menahan mereka untuk pemeriksaan dalam operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran daerah Brickfields di sini.

Difahamkan empat wanita itu dihanyutkan arus sungai berikutan semua mereka tidak pandai berenang.

Bagaimanapun dua wanita terbabit berjaya diselamatkan orang ramai sejurus kejadian manakala dua lagi dihanyutkan arus sungai Klang.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, usaha mencari mangsa yang hanyut itu dilakukan pihak polis dan anggota Bomba dan Penyelamat Pantai sejak malam kelmarin.

Menurutnya, mayat seorang mangsa berusia 20-an ditemui tersangkut di bawah jambatan Brickfields di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

“Mayat wanita lengkap berpakaian itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses pengecaman mayat dan bedah siasat.

“Kami (polis) akan meminta rakan mangsa membantu proses pengecaman mayat itu. Siasatan awal percaya semua wanita itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Muhammad Azlee berkata, tiga rakan mangsa kini ditahan pihak berkuasa kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/64.

Sementara itu komander operasi mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Bukhari Susami berkata, mayat wanita terbabit ditemui 150 meter dari lokasi mangsa dikatakan terjun ke sungai.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa sedang diteruskan termasuk menggunakan khidmat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan dua bot penyelamat membabitkan tiga kawasan pencarian di Jalan Tebing, Jambatan Brickfields dan di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Pasir dan Kampung Limau. - Hmetro

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »