Pesawat Malaysia Airlines Tergelincir dari Landasan di Lapangan Terbang Sibu SIBU: Sebuah pesawat Malaysia Airlines dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sibu telah tergelincir di landasan di Lapangan Terbang Sibu, menurut ahli-ahli keluarga cemas mereka yang menaiki pesawat. Nombor penerbangan MH2718 dari Kuala Lumpur dijadual mendarat di 9.35 malam, tetapi ahli-ahli keluarga penumpang telah menunggu di Balai Ketibaan lapangan terbang itu selama lebih dua jam untuk orang yang tersayang. Kenyataan rasmi dari MAS
Panel maklumat penerbangan pada senarai penerbangan dikatakan sebagai "Mendarat" pada pukul 9.55 malam, tetapi pada 11.30 malam tiada seorang pun penumpang melalui pintu-pintu Balai Ketibaan. Dalam kemas kini status di laman Facebook rasminya, Malaysia Airlines mengesahkan bahawa penerbangan MH2718 "terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Sibu di 22:17 semasa hujan lebat". Pesawat itu membawa 61 penumpang dan enam anak kapal, tiada seorang pun daripada mereka mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu. Satu sidang akhbar dijadual diadakan di 12.00 tengah malam ini.
KUCHING: Kerajaan negeri semalam menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Teresa untuk membantu membina semula dewan sekolah berkenaan yang ranap dalam kebakaran pada minggu lepas. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kepada Pengerusi Lembaga Pengurusan SMK St Teresa Wong Mee King di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam. Turut hadir Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengetua SMK St Teresa Mary John. Menurut Mary, pihaknya mempunyai beberapa pilihan bagi menggantikan bangunan dua tingkat yang musnah itu iaitu antaranya dengan membina semula bangunan yang sama pada anggaran kos RM4.9 juta atau membina dewan yang sama seperti yang sedia ada sekarang dengan kos kira-kira RM2.7 juta. “Maka, RM1 juta daripada kerajaan negeri ini adalah sangat berguna bagi kami dan kami sangat bersyukur kerana kerajaan negeri dan Ketua Menteri telah membantu kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemu bual. Menjelas lanjut, Mary berkata bangunan dewan dua tingkat berusia 45 tahun itu telah musnah 100 peratus yang menempatkan bilik guru, bilik muzik, perpustakaan, bilik menjahit, Bengkel Kemahiran Hidup, Bilik Bimbingan dan Kaunseling, surau serta tandas guru dan pelajar. Ekoran itu, katanya sebahagian daripada keseluruhan 15 kelas di sekolah tersebut akan digunakan sementara untuk menempatkan bilik guru manakala beberapa kelas lagi digunakan sebagai bilik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Beliau menambah, memandangkan sesi persekolahan bermula hari ini selepas cuti peristiwa yang berakhir semalam, pelajar SMK St Teresa turut diberi pelepasan oleh Jabatan Pendidikan Negeri untuk tidak hadir sehingga 14 November ini. Dalam pada itu, Mary berkata pihaknya turut merancang membina bilik guru dengan anggaran kos RM500,000 dan dijangka siap dalam masa enam bulan, di mana ia akan dilaksanakan sebaik sahaja peperiksaan SPM selesai. “Kami juga memikirkan cara untuk mendapatkan bantuan daripada badan korporat seperti CMS dan pihak tentera bagi meminjam khemah yang ada pendingin hawa dan kami mungkin akan menempatkannya di padang. “Pilihan lain adalah kontena untuk dijadikan bilik guru tetapi saya rasa ia sebenarnya bukan satu penyelesaian yang praktikal kerana sebuah kontena hanya dapat menampung kira-kira enam orang dan jika kita hendak membelinya ia terlalu mahal,” katanya. Sehubungan itu, Mary berharap syarikat-syarikat korporat seperti Naim Cendera dan Petronas bermurah hati dengan membantu dari segi menanggung kos terutama bagi membayar syarikat pembinaan merobohkan bangunan yang musnah, yang dianggarkan kira-kira RM100,000. Beliau turut menyeru syarikat-syarikat korporat lain di negeri ini turut tampil dengan sumbangan bagi membangunkan semula sekolah berkenaan. “Kami merayu kepada orang ramai untuk menyumbang apa jua, yang pasti kami hargai,” katanya sambil menambah orang ramai yang ingin menyumbang juga boleh melayari laman Facebook ‘Save St Teresa’. Mary juga berkata pihaknya akan memohon bantuan daripada Kementerian Pendidikan tetapi sebagai sekolah mubaligh, maka ia tidak dapat memberikan segalanya. Bangunan yang musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 29 Oktober lepas dibina pada 1969 dan siap pada 1971. Manakala SMK St Teresa diwujudkan pada 1885 dan merupakan sekolah ke-10 tertua di Malaysia. Sekolah berkenaan kini mempunyai seramai 75 guru dan 1,200 pelajar. - Borneopost
Andrew James Gaskell Ditemui Selamat Oleh Pasukan Penyelamat
MIRI: “Saya bergantung kepada air sungai untuk terus hidup. Saya tidak menjamah sebarang makanan, tetapi mula mencari pucuk paku pakis sejak tiga hari lalu untuk mengembalikan tenaga,” kata Andrew James Gaskell, jurutera Australia yang hilang lebih 12 hari sebelum ditemui selamat tengah hari tadi. Gaskell, 26 tahun, ditemui oleh pasukan penyelamat di Lembah Tersembunyi atau Hidden Valley, antara kawasan yang paling mencabar, dan terletaknya rangkaian gua panjang di Taman Negara Mulu. Rutin ikhtiar hidup itu bagaimanapun menyelamatkan beliau, biarpun ketika itu gagal mencari jalan keluar. “Syukur semuanya selamat. Malah saya juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius kecuali luka gigitan pacat dan nyamuk,” katanya yang terharu dengan dedikasi pasukan mencari dan menyelamat (SAR), yang tidak putus semangat selama enam hari untuk menjejakinya. “Terima Kasih Malaysia… Terima Kasih Sarawak. Tidak mungkin saya dapat melupakan pengalaman ini,” katanya sejurus tiba di Hospital Umum Miri. Ketibaan Gaskell di HospitalUmum Miri disambut oleh beberapa anggota keluarganya yang datang dari Australia untuk membantu gerakan SAR. Kehilangan Gaskell mula disedari rakan-rakannya pada 20 Oktober lalu selepas melakukan penjelajahan solo tanpa pemandu pelancong, namun hanya dilaporkan kepada pihak berkuasa pada jam 7.40 malam Rabu lalu, selepas usaha mereka mengesannya menemui jalan buntu. Setelah itu, operasi SAR diaktifkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan pengurusan Taman Negara Mulu. Malah beberapa penduduk Batu Bungan yang menghuni kawasan tersebut turut serta dalam pencarian. Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan ketika dihubungi berkata, pasukan SAR menemui Gaskell di kawasan Lembah Tersembunyi yang terletak dalam laluan Camp 1. “Sejurus ditemui, mangsa kemudian diberikan air minuman sebelum diberi rawatan kecemasan oleh pasukan SAR. Menyedari keadaannya yang lemah, serta perjalanan ke Base Camp yang agak jauh, khidmat helikopter Mi-17 dipohon untuk mengeluarkan mangsa. “Mangsa kemudian dikeluarkan dari zon pencarian dengan menggunakan kaedah ‘winching’ sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Mulu untuk pemeriksaan kesihatan. “Unit Udara Bomba kemudian menerbangkan Gaskell ke Lapangan Terbang Miri, sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Miri dengan menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg di Kuching, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan SAR kerana keazaman,dedikasi dan iltizam untuk mencari mangsa sehingga dijumpai hari ini. Operasi enam hari tersebut disertai oleh 63 pegawai dan anggota penyelamat, termasuk dua anjing pengesan yang dibahagikan kepada enam pasukan. Selain menjelajah denai dan gua, pasukan terbabit turut menyusuri sungai dan mendaki gunung bagi mencari petunjuk kehilangan Gaskell. Taman Negara Mulu merupakan antara tujuh Tapak Warisan Dunia yang berkeluasan 544 kilometer persegi. – Sarawakvoice
Sarawak Tuntut Status ‘Rakan Kongsi’ Malaysia Dikembalikan
KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri pada penghujung bulan ini dijangka panas apabila salah satu usul yang akan dibentangkan adalah berkaitan usaha mengembalikan status “rakan kongsi” penubuhan Malaysia seperti yang dipersetujui pada Perjanjian Malaysia 1963. adenan-rakan-kongsiKetua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, usul itu akan berusaha untuk mengembalikan hak dan kepentingan Sarawak yang sebelum ini semakin terhakis. “Status Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ Persekutuan Malaysia perlu dikembalikan kerana penurunan statusnya kepada sebuah ‘negeri’, yang terjadi pada 1976 tidak harus berlaku. “Oleh itu, sekarang adalah masa yang amat sesuai untuk membentangkan usul terbabit secara komprehensif, termasuk mengupas kesemua hak dan keistimewaan yang harus dinikmati negeri ini seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Projek Pembangunan Lapangan Minyak E6 Sarawak Shell Berhad dan Brooke Dockyard & Engineering Works Corporation, di sini pagi tadi. Mengulas lanjut, Adenan berharap kepemimpinan Pusat perlu memberikan perhatian terhadap usul berkenaan. “Sebelum ini, mereka (Parlimen) pada 1976 telah melakukan perubahan dengan menukar status Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13 dalam Persekutuan Malaysia. “Kita mahu status asal diberikan kembali kepada negeri ini seperti yang dipersetujui pada 1963,” katanya. Adenan menambah, usul berkenaan dijangka menyentuh hal berkaitan Akta Laut Wilayah yang secara automatiknya tidak lagi terpakai di negeri ini selepas Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, yang menyentuh persempadanan perairan wilayah Malaysia dimansuhkan lima tahun lalu. Persidangan DUN Sarawak bagi mesyuarat kedua bagi penggal pertama berlangsung bermula 21 hingga 30 November ini. Kata Adenan lagi, Kerajaan Negeri juga dijangka akan mengemukakan usul khas berkaitan kawal selia industri minyak dan gas di Sarawak, terutama di Miri dan Bintulu. “Ia mungkin dibentangkan pada persidangan DUN bulan ini atau tahun depan,” katanya. – Sarawakvoice
KUCHING: Kurang 24 jam selepas melakukan rompakan berangkai, sepasang kekasih hari ini berjaya dicekup polis atas perbuatan mereka itu. Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, kejayaan ini adalah hasil intipan dan kegigihan pasukan Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Kontijen yang diterajui Asisten Superintendan Taruna Marian, yang akhirnya berjaya memintas kenderaan pasangan ini sekitar jam 11.30 pagi tadi, berhampiran Matang Mall dekat sini.
“Polis kemudian menahan pemandu kenderaan itu, seorang lelaki berusia 21 tahun dan teman wanitanya yang berusia 24 tahun, yang disyaki terlibat dalam dua rompakan berasingan di Kuching dan Padawan. Dalam kejadian sekitar jam 4.15 petang semalam, kata Dev, pasangan ini telah merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam Seven Eleven di Jalan Song Thian Cheok dekat sini. “Suspek lelaki yang bersenjatakan parang sabit telah mengacu senjata tersebut kepada juruwang kedai tersebut sambil teman wanitanya melarikan wang tunai sebanyak RM1,284 daripada mesin tunai, selain dua telefon bimbit. “Pasangan ini kemudian dilihat melarikan diri dengan menaiki kenderaan Perodua Viva berwarna jingga. Tidak cukup dengan itu, katanya, kedua-dua penjenayah ini mengunjungi pula sebuah kedai foto di MJC Batu Kawah sekitar jam 5.10 petang. “Sebaik memasuki kedai tersebut, suspek lelaki telah mencekik leher pembantu kedai wanita dan menekannya ke lantai sementara teman wanitanya melarikan tas tangan yang mengandungi wang tunai RM1,000, dokumen peribadi dan kad bank. “Suspek wanita itu turut melarikan kamera dan empat telefon bimbit dari kedai terbabit. Menurut Dev, ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang berada di bawah pengaruh dadah dan mengaku melakukan kedua-dua rompakan tersebut. “Pemeriksaan lanjut kemudian menemui kebanyakan hasil rompakan di dalam kenderaan tersebut yang menggunakan plat pendaftaran palsu. “Saya merakamkan tahniah dan syabas kepada ASP Taruna dan pasukannya kerana berjaya menahan dan menyelesaikan kes ini dalam tempoh yang singkat,” kata Dev lagi. – Sarawakvoice
KUCHING: Dalam tempoh tiga hari polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Sungai Arip, Balingian pada Isnin susulan penangkapan suspek utama pada petang semalam.
Kes Selesai Dalam Masa 3 Hari
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata seorang lelaki diberkas sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9, Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak bersama JSJ Mukah pada jam 2.30 petang semalam. Suspek yang berumur 54 tahun itu ditangkap di sebuah rumah panjang di Sungai Arip, dekat Mukah. “Suspek ini telah membawa pasukan polis ke satu kawasan semak di mana satu senapang patah disembunyikan. “Senapang patah ini dipercayai telah digunakan untuk menembak mangsa pada 24 Oktober 2016,” katanya menerusi satu kenyataan. Semalam juga, pada jam 12.30 tengah hari, sembilan lelaki berumur antara 18 hingga 45 tahun telah menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri. Empat daripada mereka adalah suspek dikehendaki yang dihebahkan menerusi media. Sembilan lelaki ini telah ditahan dan akan dibawa ke Mukah untuk siasatan lanjut. Setakat ini, 22 orang telah ditangkap berhubung kes ini, iaitu 10 penduduk rumah panjang dan 12 lelaki dari Miri. “Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Task Force diketuai Ketua JSJ Sarawak Datuk Dev Kumar kerana berjaya menyelesaikan kes bunuh ini dalam tempoh tiga hari,” katanya. Kejayaan itu turut mendapat ucapan tahniah daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitternya. Pada Isnin lepas, kira-kira jam 6 petang, cubaan sekumpulan lelaki yang dikatakan merempuh sekatan di jalan masuk ke sebuah ladang menyebabkan Fabian Janti Lebau, 26, terbunuh. Berlaku pertengkaran antara kumpulan mangsa dengan pihak yang melakukan sekatan sebelum mangsa ditembak dipercayai menggunakan senapang patah sehingga menyebabkan kematian. Mangsa ditemui mati dalam keadaan tertiarap di tepi jalan masuk ke ladang berkenaan dipercayai akibat ditembak menggunakan senapang patah di bahagian bawah rusuk kanan dan terdapat kesan tetakan di kepala. Selain itu, siasatan di tempat kejadian turut menemui dua kelongsong peluru berdekatan mayat mangsa dan tempat kejadian yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat sekatan yang didirikan penduduk setempat. [Sumber: UtusanBorneo]
Lebih 30 pemimpin akar umbi Umno hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu kerana hilang keyakinan terhadap presidennya Datuk Seri Najib Razak.
Pengumuman itu dibuat dalam sidang media yang diketuai oleh
bekas exco Pemuda Umno Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen.
"Kami bersetuju dan bersedia keluar Umno berkuatkuasa serta merta.
"Walau berat tapi yakin ramai yang hilang keyakinan dan barisan kepimpinan yang sebelum ini kami pertahankan sehingga hujung nyawa.
"Kerana apa kami buat, kerana matlamat perjuangan Umno tak letak rakyat keutamaan, tetapi membenarkan, menyokong kemungkaran dan salah guna kuasa berleluasa di Malaysia," katanya dalam sidang media di Hotel De Palma Ampang sebentar tadi.
Majlis itu dihadiri kira-kira 70 anggota Umno yang lain.
Dakwa 150 anggota ikut serta
Mohd Rafiq turut mendakwa, selain pemimpin Umno terdapat 150 anggota Umno lain yang turut menyertai keluar parti pada hari ini.
Katanya, Umno kini telah lari daripada perjuangan dan dirosakkan oleh kepimpinan parti yang tidak bertanggungjawab.
“Kami semua sependapat bahawa Umno hari ini sudah pun tersasar daripada perjuangan asalnya.
"Imej Umno dan kerajaan Malaysia yang ditunjangi oleh Barisan Nasional telah tercemar dengan teruknya susulan daripada pelbagai skandal dan isu-isu besar yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi Umno,” katanya.
Malah katanya, Lembaga Disiplin Umno kini dilihat menjadi alat bagi menyekat kemaraan karier politik mana-mana pemimpin tertentu dan tindakan yang diambil berdasarkan pilih kasih serta mengikut kepentingan politik pimpinan.
“Sebelum ini terdapat pemimpin yang didapati bersalah dalam Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan politik wang dalam pemilihan Umno lepas tetapi hanya diberi amaran atau dihalang bertanding.
“Mereka yang terlibat dalam rasuah politik ini dilantik dan dikekalkan sebagai barisan menteri di pelbagai peringkat,” katanya.
Tak nak masuk balik
Sementara itu, Rafiq turut mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mendakwa ramai bekas anggota Umno merayu untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.
“Katalah ada ribuan ahli Umno yang dah dipecat merayu masuk Umno, saya cabar dia senaraikan sebab dia janji nak bagi senarai.
“Tolong tunjuk berapa juta, berapa puluh ribu yang kena pecat ni. Tapi kami semua memang tak nak masuk balik,” katanya sambil disahut sorakan mereka yang hadir.
Terdahulu Rafiq digantung sebagai anggota Umno selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai exco Pemuda Umno juga digugurkan.
Beliau didakwa melakukan sabotaj kepada Najib dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Idris Haron melalui program Bicara Negarawan yang dicadang dianjurkan di Melaka pada tahun lalu.
Dr Mahathir dedah ‘rahsia’ BN? Apa yang Anda Perlu Tahu | Bercakap di hadapan lebih 5,000 orang dalam satu program bersama Datuk Husam Musa semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu rahsia bagaimana Barisan Nasional (BN) boleh kekal menang selama lebih 60 tahun di negara ini – Bersatu, guna satu simbol dan satu manifesto. “BN boleh ditewaskan, saya selalu menang, tak pernah kalah semasa memimpin BN,” kata bekas perdana menteri selama lebih 20 tahun itu dalam ceramah perdana di Kota Bharu malam tadi bersama pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Amanah dan PKR. “BN menang sebab parti lawan kalah, parti lawan kalah sebab mereka tidak bersatu. “BN menang kerana mereka berjuang sebagai sebuah parti, mereka guna satu simbol dan satu manifesto, mereka hanya letak satu calon, semua 14 parti hanya sokong satu calon,” katanya. Kenyataan itu susulan pelbagai gesaan supaya parti pembangkang kembali bersatu bagi memastikan satu lawan satu pada pilihan raya umum ke-14 yang perlu diadakan menjelang 2018. Sebelum ini, beberapa pimpinan Amanah dan PPBM dipercayai terlibat dalam usaha meyakinkan PAS supaya tidak bergerak bersendirian dalam menghadapi BN. PAS, yang memutuskan hubungan dengan DAP dan berikrar tidak akan bekerjasama dengan Amanah, masih mengekalkan pertaliannya dengan PKR. Baru-baru ini di Terengganu, pemimpin PAS berkongsi pentas dengan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun ia belum tentu mengubah sikap parti Islam itu dalam menjalinkan kerjasama dengan parti lain. Dr Mahathir semalam sekali lagi menegaskan kepentingan pembangkang bergabung. “Hanya satu cara sahaja untuk kita menang, kita kena bergabung. Kali ini saya mendesak kalau nak menang, ketepikan perselisihan sesama kita,” kata pengerusi PPBM itu dalam dewan yang sesak di negeri yang diperintah PAS itu. Dr Mahathir juga memberi jaminan Kelantan boleh menikmati royalti petroleum yang selama ini diperjuangkan oleh mereka. “Kalau kita menang, baru kita boleh dapat royalti,” katanya disambut dengan tepukan dan takbir mereka yang memenuhi dewan Tunjung Banquet itu. Selain Dr Mahathir dan Husam, program ceramah bertemakan “BN boleh ditewaskan” yang diusahakan bekas ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim itu, turut menampilkan Rosli Ibrahim, bekas senator yang pernah mewakili Kelantan. Kelantan berusaha sejak sekian lama memperolehi royalti minyak sebagaimana yang dinikmati negeri jiran Terengganu. Sebelum ini, kerajaan negeri pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat memfailkan saman terhadap Petronas, namun isu tersebut senyap selepas kematian pemimpin tertinggi PAS itu. Kematian Nik Aziz juga menyaksikan hubungan baik antara PAS dan Umno. Kelantan kini menerima bayaran saguhati daripada Putrajaya melalui Jabatan Pembangunan Negeri (JPP) yang terletak di bawah kerajaan pusat. Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, ‘R’ juga ditubuhbkan penyokong kerajaan negeri bagi membuat tuntutan royalti itu tetapi aktivitinya terhenti selepas pimpinan negeri bertukar tangan.
2017 Adalah Tahun Ekonomi Internet Untuk Malaysia? | Perkembangan arena digital dan internet turut membawa kepada sumbangan peningkatan dalam pendapatan ekonomi negara. Selari dengannya, kini Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak telah pun mengumumkan yang mana tahun hadapan, 2017 akan menjadi “Tahun Ekonomi Internet”.
Lima strategi teras dikatakan akan memangkin dalam merealisasikan “Tahun Ekonomi Internet” ini, iaitu, mikrokosma fizikal, pembiayaan modal risiko, perhubungan, bakat dan rangka kerja kawal aturan.
Dengan revolusi digital dan internet yang berkembang pesat, kerajaan tidak ingin Malaysia ketinggalan dan ingin mengambil peluang melaluinya. Melalui data sebelum ini, ekonomi digital dilaporkan menyumbang sekitar 17.8% KDNK pada tahun 2015 yang lepas.
Dengan sasaran baru ini, beberapa perkara turut telah disediakan, termasuk strategi untuk e-Dagang, selain memudahkan lagi penubuhan Hab Digital Malaysia dipelbagai kawasan.
Tidak mustahil kita melihat lebih fokus terhadap arena digital ini melalui pengumuman belanjawan akan datang.
Penunggang Motosikal Maut di Kilometer 440 Jalan Betong/Sarikei/Meradong
SARIKEI: Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam kemalangan di Jalan Bulat, Kilometer 440 Jalan Betong/Sarikei/Meradong awal pagi semalam. Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintenden Mat Jusoh Muhamad berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 5.30 pagi. “Mangsa maut dikenali sebagai Marcelinus Remah berusia 19 tahun dari Rumah Jawi, Sungai Bulat Sarikei. Berdasarkan siasatan awal kemalangan, polis percaya ia adalah kemalangan sendiri dan tidak melibat kenderaan lain. “Ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan menghala ke Sibu dan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik,” kata Mat Jusoh dalam satu kenyataan kepada media, semalam. Akibat kemalangan itu kata Mat Jusoh, mangsa telah terpelanting beberapa meter dari lokasi motosikalnya. “Hasil pemeriksaan di lokasi kemalangan, pihak polis mendapati terdapat kesan warna motosikal mangsa melekat di tiang elektrik setinggi 0.8 meter. “Pada masa sama, tiada sebarang kesan kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan ini, sama ada berlakunya rempuhan dari hadapan atau belakang. “Mangsa didapati tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal tersebut adalah milik abangnya. “Semasa kejadian keadaan cuaca masih gelap kerana masih awal pagi dan permukaan jalan licin selepas hujan,” tegas Mat Jusoh. Mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan tetapi telah disahkan meninggal dunia di Hospital Sarikei oleh pegawai perubatan pada jam 6.00 pagi. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UtusanBorneo