Pasangan Kekasih Perompak, Dicekup Selepas 24 jam

KUCHING: Kurang 24 jam selepas melakukan rompakan berangkai, sepasang kekasih hari ini berjaya dicekup polis atas perbuatan mereka itu.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, kejayaan ini adalah hasil intipan dan kegigihan pasukan Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Kontijen yang diterajui Asisten Superintendan Taruna Marian, yang akhirnya berjaya memintas kenderaan pasangan ini sekitar jam 11.30 pagi tadi, berhampiran Matang Mall dekat sini.


“Polis kemudian menahan pemandu kenderaan itu, seorang lelaki berusia 21 tahun dan teman wanitanya yang berusia 24 tahun, yang disyaki terlibat dalam dua rompakan berasingan di Kuching dan Padawan.

Dalam kejadian sekitar jam 4.15 petang semalam, kata Dev, pasangan ini telah merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam Seven Eleven di Jalan Song Thian Cheok dekat sini.

“Suspek lelaki yang bersenjatakan parang sabit telah mengacu senjata tersebut kepada juruwang kedai tersebut sambil teman wanitanya melarikan wang tunai sebanyak RM1,284 daripada mesin tunai, selain dua telefon bimbit.

“Pasangan ini kemudian dilihat melarikan diri dengan menaiki kenderaan Perodua Viva berwarna jingga.

Tidak cukup dengan itu, katanya, kedua-dua penjenayah ini mengunjungi pula sebuah kedai foto di MJC Batu Kawah sekitar jam 5.10 petang.

“Sebaik memasuki kedai tersebut, suspek lelaki telah mencekik leher pembantu kedai wanita dan menekannya ke lantai sementara teman wanitanya melarikan tas tangan yang mengandungi wang tunai RM1,000, dokumen peribadi dan kad bank.

“Suspek wanita itu turut melarikan kamera dan empat telefon bimbit dari kedai terbabit.

Menurut Dev, ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang berada di bawah pengaruh dadah dan mengaku melakukan kedua-dua rompakan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui kebanyakan hasil rompakan di dalam kenderaan tersebut yang menggunakan plat pendaftaran palsu.

“Saya merakamkan tahniah dan syabas kepada ASP Taruna dan pasukannya kerana berjaya menahan dan menyelesaikan kes ini dalam tempoh yang singkat,” kata Dev lagi. – Sarawakvoice

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »