Saya Bergantung Kepada Air Sungai Untuk Terus Hidup - Andrew James Gaskell


Andrew James Gaskell Ditemui Selamat Oleh Pasukan Penyelamat


MIRI: “Saya bergantung kepada air sungai untuk terus hidup. Saya tidak menjamah sebarang makanan, tetapi mula mencari pucuk paku pakis sejak tiga hari lalu untuk mengembalikan tenaga,” kata Andrew James Gaskell, jurutera Australia yang hilang lebih 12 hari sebelum ditemui selamat tengah hari tadi.

Gaskell, 26 tahun, ditemui oleh pasukan penyelamat di Lembah Tersembunyi atau Hidden Valley, antara kawasan yang paling mencabar, dan terletaknya rangkaian gua panjang di Taman Negara Mulu.

Rutin ikhtiar hidup itu bagaimanapun menyelamatkan beliau, biarpun ketika itu gagal mencari jalan keluar.
“Syukur semuanya selamat. Malah saya juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius kecuali luka gigitan pacat dan nyamuk,” katanya yang terharu dengan dedikasi pasukan mencari dan menyelamat (SAR), yang tidak putus semangat selama enam hari untuk menjejakinya.

“Terima Kasih Malaysia… Terima Kasih Sarawak. Tidak mungkin saya dapat melupakan pengalaman ini,” katanya sejurus tiba di Hospital Umum Miri.

Ketibaan Gaskell di HospitalUmum Miri disambut oleh beberapa anggota keluarganya yang datang dari Australia untuk membantu gerakan SAR.

Kehilangan Gaskell mula disedari rakan-rakannya pada 20 Oktober lalu selepas melakukan penjelajahan solo tanpa pemandu pelancong, namun hanya dilaporkan kepada pihak berkuasa pada jam 7.40 malam Rabu lalu, selepas usaha mereka mengesannya menemui jalan buntu.

Setelah itu, operasi SAR diaktifkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan pengurusan Taman Negara Mulu. Malah beberapa penduduk Batu Bungan yang menghuni kawasan tersebut turut serta dalam pencarian.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan ketika dihubungi berkata, pasukan SAR menemui Gaskell di kawasan Lembah Tersembunyi yang terletak dalam laluan Camp 1.

“Sejurus ditemui, mangsa kemudian diberikan air minuman sebelum diberi rawatan kecemasan oleh pasukan SAR.

Menyedari keadaannya yang lemah, serta perjalanan ke Base Camp yang agak jauh, khidmat helikopter Mi-17 dipohon untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa kemudian dikeluarkan dari zon pencarian dengan menggunakan kaedah ‘winching’ sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Mulu untuk pemeriksaan kesihatan.

“Unit Udara Bomba kemudian menerbangkan Gaskell ke Lapangan Terbang Miri, sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Miri dengan menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg di Kuching, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan SAR kerana keazaman,dedikasi dan iltizam untuk mencari mangsa sehingga dijumpai hari ini.

Operasi enam hari tersebut disertai oleh 63 pegawai dan anggota penyelamat, termasuk dua anjing pengesan yang dibahagikan kepada enam pasukan.

Selain menjelajah denai dan gua, pasukan terbabit turut menyusuri sungai dan mendaki gunung bagi mencari petunjuk kehilangan Gaskell.

Taman Negara Mulu merupakan antara tujuh Tapak Warisan Dunia yang berkeluasan 544 kilometer persegi. – Sarawakvoice



Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »