Penunggang Motosikal Maut di Kilometer 440 Jalan Betong/Sarikei/Meradong
SARIKEI: Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam kemalangan di Jalan Bulat, Kilometer 440 Jalan Betong/Sarikei/Meradong awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintenden Mat Jusoh Muhamad berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 5.30 pagi.
“Mangsa maut dikenali sebagai Marcelinus Remah berusia 19 tahun dari Rumah Jawi, Sungai Bulat Sarikei. Berdasarkan siasatan awal kemalangan, polis percaya ia adalah kemalangan sendiri dan tidak melibat kenderaan lain.
“Ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan menghala ke Sibu dan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik,” kata Mat Jusoh dalam satu kenyataan kepada media, semalam.
Akibat kemalangan itu kata Mat Jusoh, mangsa telah terpelanting beberapa meter dari lokasi motosikalnya.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kemalangan, pihak polis mendapati terdapat kesan warna motosikal mangsa melekat di tiang elektrik setinggi 0.8 meter.
“Pada masa sama, tiada sebarang kesan kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan ini, sama ada berlakunya rempuhan dari hadapan atau belakang.
“Mangsa didapati tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal tersebut adalah milik abangnya.
“Semasa kejadian keadaan cuaca masih gelap kerana masih awal pagi dan permukaan jalan licin selepas hujan,” tegas Mat Jusoh.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan tetapi telah disahkan meninggal dunia di Hospital Sarikei oleh pegawai perubatan pada jam 6.00 pagi. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UtusanBorneo