Hadi akan sokong usul undi tidak percaya Najib


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyokong usaha menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekiranya ia dilakukan melalui usul undi tidak percaya yang dibentangkan di Parlimen, kata Setiausaha Agung parti Datuk Takiyuddin Hassan.


"Jika usul itu dibawa ke Parlimen, kami akan menyokongnya, tetapi buatlah dulu," katanya.

Ditanya adakah Hadi akan bersetuju dengan tindakan itu, Takiyuddin berkata presiden akan menyokongnya.

"Ya, PAS adalah Hadi, Hadi adalah PAS," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Hadi menolak Deklarasi Rakyat dan pergerakan Selamatkan Malaysia, kedua-duanya inisiatif bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan usaha itu sia-sia.

Beliau berkata, terdapat dua cara lain untuk menukar perdana menteri – iaitu melalui pilihan raya umum atau undi tidak percaya.

Takiyuddin hari ini berkata, "ada beberapa perkara yang serupa dengan perjuangan kami, tetapi kami juga ada perjuangan kami sendiri. Kami ada sistem dan (cara membuat) keputusan kami sendiri".

Rahsia Suri Rumah Bekerjaya! Klik Disini! 

Beliau yang juga ahli Parlimen Kota Baru itu berkata, menggunakan saluran pilihan raya atau undi tidak percaya merupakan pendirian PAS berhubung bagaimana perdana menteri perlu disingkirkan.

"Kaedah menyingkirkannya perlu ikut prosedur," katanya.

Hadi berkata semalam, Islam tidak menggalakkan pemimpin dipecat, mengatakan apa yang dibenarkan adalah memperbetulkan pemimpin yang melakukan kesalahan.

Keputusan PAS tidak menyokong Deklarasi Rakyat membawa kepada cakap-cakap yang parti Islam itu bekerjasama dengan Umno, yang diterajui Najib.

Tambahan pula, kedua-dua ketua parti itu baru-baru ini menyatakan kesediaan bekerjasama dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam dan negara, sambil PAS masih kekal sebagai pembangkang.

Takiyuddin menafikan itu sebabnya PAS tidak menyokong deklarasi 4 Mac yang ditandatangani Dr Mahathir dan pemimpin pembangkang serta masyarakat sivil itu.

"Politik sangat luas. Tidak bermakna jika kita tidak bersetuju dengan perkara-perkara tertentu, kita tidak boleh bawa isu yang sama. Kita boleh.

"Apa yang dibangkitkan Dr Mahathir hanya salah satu daripada cara menentang pemimpin," katanya. - The Malaysian Insider

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »