Jodoh Pak Cik Orang Sarawak


Jasin: Demi mengembalikan kebahagiaan bapa saudara yang kematian isteri sejak setahun lalu, seorang wanita tekad mencari calon isteri sebagai teman pengganti buat warga emas itu.

Halimah Ismail, 54, berkata, dia simpati melihat keadaan bapa saudaranya Aziz Rahman, 70, yang keseorangan dan kehilangan tempat bergantung untuk menguruskan keperluan harian serta kesunyian tanpa teman.
Menurutnya, bapa saudaranya pernah meluahkan hasrat supaya dia mencarikan calon isteri buat dirinya pada penghujung tahun lalu sehinggalah menemui Rosnah Ajis, 60, pada Mac lalu.

“Sebelum ini dia pernah meminta saya mencari calon isteri dengan syarat mesti orang Melaka, tapi saya gagal mencarinya lalu meminta dia menunaikan umrah di Makkah serta berdoa di sana.

“Selepas seminggu pulang dari Makkah, dia ke Sarawak 25 Mac lalu berjumpa dengan seorang rakannya yang mencadangkan seorang saudaranya sebagai calon isteri. Sekembalinya ke Semenanjung dia meminta saya mencari orang yang dimaksudkan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambut menantu pasangan itu di Kampung Sebatu, Merlimau, di sini, semalam.

Halimah berkata, selepas berjumpa Rosnah dua minggu selepas itu, dia mengaturkan pertemuan dengan mempertemukan pasangan berkenaan.

“Bapa saudara tidak mempunyai sesiapa untuk bergantung harap kerana tidak mahu mengecewakannya saya berusaha mencari Rosnah sebelum menghantar gambar kepadanya.

“Pada akhir Mei lalu, mereka berdua dipertemukan di restoran di Serkam dan mereka bersetuju disatukan akhirnya ditunangkan,”katanya.

Katanya, dia gembira kerana dapat melihat kegembiraan bapa saudaranya yang kini sudah mempunyai teman hidup dan orang yang akan menguruskan kehidupan hariannya.

“Saya masih ingat ketika hidup bersendirian,dia menghubungi saya tiga kali sehari iaitu pagi, petang dan malam untuk menghilangkan kebosanan,” katanya.

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »