Tukang Masak Dirompak Tiga Lelaki Bertopeng


KUCHING: Seorang tukang masak bersama ibunya mengharungi detik cemas apabila rumah mereka di Jalan Tun Jugah di sini dimasuki perompak bertopeng dan bersenjatakan pisau pemotong daging, semalam.

Menurut sumber, lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan terjaga dari tidur sekitar jam 1.30 pagi dan terkejut apabila melihat tiga lelaki bertopeng di dalam bilik tidurnya.

Ketiga-tiga suspek kemudian mengarahkan mangsa berdiam diri sebelum dia dibawa ke sebuah bilik bersama ibunya dan diikat pada tangan serta kaki menggunakan kabel komputer.

“Seorang daripada suspek yang memegang pisau pemotong daging kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan wang kepada mereka sekiranya tidak mahu dicederakan.

“Suspek kemudian menggeledah rumah tersebut dan mengambil wang tunai RM4,000 dari dompet mangsa bersama seunit telefon bimbit dan terus melarikan diri,” kata sumber.

Mangsa berjaya melepaskan diri beberapa minit selepas itu dan terus menghubungi pihak polis untuk bantuan.

Pemeriksaan awal oleh mangsa mendapati suspek telah memasuki rumah mangsa melalui tingkap dapur yang telah dirosakkan.

Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang wanita cedera di badannya akibat terjatuh ketika cuba menghalang peragut melarikan beg tangannya, kelmarin.

Difahamkan, mangsa berusia 31 tahun itu semasa kejadian sedang duduk di luar sebuah restoran makanan segera di Jalan Rock, apabila didatangi seorang lelaki tidak dikenali sekitar jam 10.30 malam.

“Lelaki terbabit kemudian bertindak meragut beg tangan mangsa yang diletakkan di atas pangkuannya dan terus melarikan diri.

“Mangsa yang cuba menghalang suspek melarikan diri itu bagaimanapun turut terjatuh menyebabkan suspek terus beredar dengan menaiki sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki dipercayai rakan subahatnya,” kata sumber.

Antara yang terkandung di dalam beg tangan mangsa ialah wang tunai sekitar RM400 serta telefon bimbit dan beberapa dokumen peribadi.

Mangsa yang cedera itu kemudian mendapatkan rawatan di klinik berdekatan sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian. - Theborneopost

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »