Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Berjaya Mengekalkan Kerusi Parlimen Permatang Pauh

Bukit Mertajam: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Kecil (PRK), di sini, semalam.

Presiden PKR itu menang dengan majoriti 8,841 undi, merosot 2,880 undi, menewaskan pencabar terdekat, Suhaimi Sabudin dari Barisan Nasional (BN).


Wan Azizah memperoleh 30,316 undi manakala Suhaimi mendapat 21,475 undi.

Calon Bebas Salleh Isahak hanya mendapat 367 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia Azman Shah Othman pula 101 undi. Kedua-dua calon itu hilang wang pertaruhan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jusni Ismail ketika mengumumkan keputusan berkenaan berkata, sebanyak 74 peratus daripada 71,890 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

“Dengan ini saya mengisytiharkan Datin Seri Dr Wan Azizah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh,” katanya ketika mengumumkan keputusan PRK itu di Pusat Penjumlahan Undi di Institut Kemahiran Belia Negara, di sini, semalam.

Pada sidang media selepas itu, Dr Wan Azizah berkata, beliau akan mendapatkan bantuan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali untuk menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat di Permatang Pauh dan Kajang.

Manakala mengenai kedudukan Ketua Pembangkang, beliau menjelaskan akan berbincang dengan semua pimpinan pakatan pembangkang tidak lama lagi.

PRK berkenaan diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja bekas Ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kesalahan meliwat.

Pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu, Anwar menang dengan majoriti 11,721 undi menewaskan calon BN Dr Mazlan Ismail dan calon Bebas Dr Abdullah Zawawi Samsudin. - Hmetro

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »