KUCHING: Sebanyak empat keluarga merangkumi 25 individu hilang tempat berteduh apabila kediaman mereka di Kampung Selipar Putus, di sini musnah dijilat api, semalam.
Menurut salah seorang mangsa, Mohd Fazei Razali, 27, ketika kejadian dia yang sedang tidur ketika kejadian dikejutkan oleh orang tuanya.
Menurut pekerja kilang yang sedang bercuti itu, dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang termasuk dokumen penting kerana insiden itu berlaku dalam sekelip mata.
“Saya hanya memikirkan keselamatan kami sekeluarga termasuk anak-anak kecil saya tanpa sempat menyelamatkan barang-barang,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Insiden itu turut menjejaskan rumah adik lelakinya yang terletak di sebelah rumahnya.
Ketika kejadian, hanya anak-anak saudaranya berada di rumah manakala adik iparnya, Pustikawati Affendi, 26, berjaja kuih tidak jauh dari rumah tersebut.
Difahamkan, pemilik rumah keempat yang hanya dikenali sebagai Lina sempat menyelamatkan beberapa barang seperti tong gas dan televisyen.
Sementara itu, Komander Operasi PgKBI Tiong Ling Hii berkata, insiden sekitar jam 4.40 petang itu turut menyaksikan dua mangsa cedera ringan akibat melecur namun telah diberi rawatan sewajarnya.
“Kebakaran yang membabitkan empat buah rumah ini dipercayai bermula dari rumah di bahagian tengah.
“Pihak bomba masih berusaha mendapatkan maklumat daripada mangsa namun mereka masih dalam keadaan trauma dan tambahan pula ketika kejadian, mereka sedang tidur jadi mereka tidak pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.
Menurut beliau, jentera pertama daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya tiba di lokasi kebakaran kira-kira lima minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Bagaimanapun setibanya di tempat kejadian katanya, kebakaran membabitkan tiga buah rumah hampir merebak 100 peratus.
Anggota daripada BBP Balai Tabuan Jaya turut dibantu oleh BBP Batu Lintang dan BBP Kuching sekali gus menjadikan jumlah kekuatan bomba terlibat seramai 30 orang.
“Kebakaran berlaku sangat cepat kerana struktur rumah adalah kayu, ditambah lagi dengan tiupan angin yang menyebabkan api merebak cepat ke rumah keempat,” katanya.
Menurut Tiong, rumah kelima berjaya diselamatkan daripada kebakaran kerana faktor jarak yang agak jauh.
Tambahan pula katanya, pengalaman memadamkan kebakaran di kawasan itu turut mengajar pihaknya untuk membawa jentera ‘prime mover’ untuk sumber air.
“Kesukaran dihadapi dalam operasi ini hanya dari segi air kerana tidak ada pili bomba atau sumber air terbuka namun kami berjaya selesaikan dari awal berdasarkan pengalaman sebelum ini,” katanya.
Jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih disiasat.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak PPjB Mat Ali Bahudin dan Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Sarawak PgKB I Farhan Sufyan Borhan. - TBP