KUCHING: Seorang guru lelaki ditemui mati di rumahnya di sebuah pangsapuri di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC) di sini semalam.
Mangsa yang berusia 49 tahun dipercayai telah meninggal dunia sejak tiga hari lepas, namun hanya diketahui selepas penghuni pangsapuri berkenaan mula terhidu bau busuk sekitar jam 2 petang.
Beberapa anggota polis telah dikerah ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Selain itu, kakak mangsa dikatakan turut tiba di rumah mangsa selepas dihubungi oleh rakan sekerja mangsa yang memberitahu mangsa sudah tiga hari tidak hadir ke tempat kerja selain turut gagal dihubungi.
Menurutnya, kali terakhir dia melihat adiknya itu adalah pada 4 Jun lepas dan kali terakhir berhubung dengan mangsa melalui telefon bimbit adalah pada 14 Jun.
“Saya mula curiga ada perkara buruk yang berlaku kerana dia (mangsa) tidak pernah tidak menjawab panggilan telefon atau pesanan ringkas (SMS) saya dan kali terakhir dapat berhubung dengannya adalah pada 14 Jun lepas.
“Hari ini (semalam), saya telah dihubungi oleh rakan sekerjanya (mangsa) memaklumkan kepada saya bahawa dia tidak hadir di tempat kerja sejak tiga hari lalu. Ini menambah kerisauan saya dan saya terus ke sini,” katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat. - TBP
