11 Rakyat China di Sibu Hidap Penyakit Kencing Tikus


SIBU: Seramai 11 rakyat China yang bekerja di sebuah kapal nelayan yang didaftarkan di negara ini disahkan menghidap penyakit kencing tikus atau Leptospirosis.

Pengesahan itu dibuat Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil hasil siasatan dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu.

Dr Jerip berkata, semua mereka disahkan positif selepas menjalani ‘Rapid Test Leptospirosis’ setelah menunjukkan tanda-tanda penyakit utama seperti batuk, sesak nafas dan sakit kepala yang teruk.

Katanya seorang daripada mereka berusia 59 tahun dilaporkan meninggal dunia pada 18 Jun lalu di Hospital Sibu dan didiagnosis terakhir sebagai ‘Septic Shock Secondary Leptospirosis’.

“Rentetan kejadian itu pada 19 Jun lalu, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu menerima 10 notifikasi penyakit Leptospirosis daripada Hospital Sibu.

“Siasatan awal mendapati semua mereka bekerja dengan sebuah kapal nelayan beralamat di Tanjung Manis, Mukah,” katanya.
Menurut Dr Jerip, semua mereka iaitu seramai 12 orang dilaporkan meninggalkan Da Lian, China pada 1 Januari tahun ini dengan menaiki kapal.

Sebelum berlabuh di Tanjung Manis pada 17 Jun lalu, mereka berlabuh berhampiran Pelabuhan Bintulu.

Begitupun, bekalan makanan yang dibawa dari China mulai berkurangan sejak Mac lalu.

“Akibatnya, mereka bergantung kepada bekalan air hujan serta air bersih dibeli di Pelabuhan Bintulu dan Miri.

“Siasatan awal juga tidak menolak jangkitan tersebut bermula daripada insiden kekurangan bekalan air,” katanya.
Sehingga berita ini ditulis, siasatan lanjut masih dilakukan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau mahu insiden itu diumumkan kepada orang ramai khususnya di kalangan penduduk Sibu.

Alice berkata ini bertujuan membantu mempertingkatkan kesedaran di kalangan orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga.

“Ia bukan bertujuan menakutkan orang ramai tetapi untuk memastikan setiap orang mementingkan langkah keselamatan,” jelas beliau.

Menurut Alice, seorang daripada rakyat China terbabit dilaporkan meninggal dunia pada awal Mei lalu.

Begitupun, punca sebenar kematian tersebut masih belum dapat dipastikan.

“Sampel darah dihantar ke Kuala Lumpur dan diharapkan  dapat diperolehi dalam masa terdekat,” tambah beliau. - TBP

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »