Malaysia Airlines (MAS) Digesa Agar Tidak Memberhentikan 6,000 Kakitangannya


PETALING JAYA - Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin berkata, pihaknya menganggap keputusan yang dibuat MAS sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Pengurusan MAS memaklumkan bahawa pekerja ini akan menerima surat berhenti pada 27 Mei ini dan perkhidmatan tamat pada hujung Ogos,” katanya pada sidang media, semalam.

Bagaimanapun, menurut beliau, ada di kalangan kakitangan ini akan ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat MAS yang baharu.

Menurutnya, MAS tidak sepatutnya membuang pekerja walaupun syarikat tersebut sedang melakukan kerja-kerja penstrukturan.

Tambah Ismail, kesemua pekerja ini akan hilang sumber pendapatan sekiranya mereka dibuang kerja.

“Kakitangan yang akan lebih terkesan ialah ibu tunggal. Bayangkan, bagaimana mereka hendak menanggung kos kehidupan seharian, lagi-lagi jika ada anak," katanya.

Menurut Ismail, keputusan membuang 6,000 pekerja ini bukanlah jalan penyelesaian bagi menyelamatkan MAS daripada terus rugi.

Katanya, banyak cara lain yang boleh dilakukan oleh MAS dan salah satu alternatif ialah memberhentikan pengambilan pekerja separuh masa.

“Kebanyakan pekerja sepenuh masa MAS ialah pekerja yang lama serta berpengalaman. Jadi, bagi Nufam, ia adalah satu kerugian besar kepada syarikat itu,” katanya.

Beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melihat masalah yang sedang dialami MAS.

Kata Ismail, pihaknya akan menyerahkan memorandum berkaitan masalah ini kepada perdana menteri Isnin ini di pejabatnya. - SinarHarian

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

Previous
Next Post »