Keadaan ICU Hospital Umum Sarawak Dipertikai

Gambar hiasan


KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) digesa untuk memantapkan perkhidmatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang didakwa sebagai lemah dan tidak terkawal.

Pemerhatian itu dibuat keluarga penjual mi kolo, Freddy Sim Jit Tong yang melecur sebanyak 62 peratus pada 3 April lalu.

Meskipun menjalani pembedahan dengan jayanya di hospital tersebut, luka dialami mangsa berusia 38 tahun itu didakwa dijangkiti virus yang menjurus kepada kematiannya pada 19 April.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen berkata, walaupun ahli keluarga mangsa amat berterima kasih kepada doktor dan jururawat yang mencuba sebaik mungkin menyelamatkannya, namun mereka berpendapat keadaan ICU perlu diperbaiki agar tidak menjejaskan pesakit lain pada masa depan.

“Ahli keluarga amat sedih dengan pemergian Freddy. Mereka berasakan jika ICU dikawal lebih baik, ia boleh mengurangkan peluang jangkitan virus.

“Mereka memohon saya mengutarakan isu ini bukan bertujuan menuding jari kepada sesiapa, tetapi semata-mata dengan harapan untuk memperbaiki keadaan di ICU agar pesakit lain mempunyai peluang lebih baik untuk hidup sekali gus menyelamatkan lebih banyak nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri di sini, semalam.

Chong juga Pengerusi DAP Negeri berkata, sepanjang kemasukan mendiang di ICU, keluarga mangsa mendakwa pihak hospital gagal mengawal kemasukan pelawat ke unit tersebut kerana sesiapa sahaja boleh keluar masuk tanpa pakaian dan topi khas ketika melawat pesakit dalam wad berkenaan.

Malah, katanya, pemerhatian ahli keluarga mangsa mendapati ada beberapa insiden jururawat tidak memakai topeng muka dan sarung tangan ketika merawat pesakit.

Turut dipersoalkan ialah kenapa pintu kepada bilik pengasingan tidak dibenarkan ditutup, selain pintu utama ke ICU dibiar rosak selama berhari-hari.

“ICU itu secara harfiah, dibiarkan terbuka pada setiap masa selama beberapa hari malah sehingga kematian Freddy Sim, pintu masih belum dibaiki,” katanya.

Chong juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa berkata, beliau mengemukakan surat aduan kepada Menteri Kesihatan Datuk Dr S Subramaniam, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri dan Pengarah HUS bagi memastikan perkara itu diambil perhatian dan seterusnya diperbaiki.

“Perkara ini perlu diberi perhatian dan tindakan segera bagi memperbetulkan keadaan,” katanya. - Theborneopost

Share this

Berlangganan via email

Related Posts

First