Kuala Terengganu: “Saya bersyukur dan mengalirkan air mata serta hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya saya melihat dia membuka mata semula,” kata Raizan Che Muda, 57, ibu kepada Irman Muhammad Rajuna, 40, yang bertarung nyawa selepas koma selama 11 hari.
Menurutnya, anaknya itu koma selepas merempuh bangkai babi hutan di bahu jalan di Jalan Santong, Paka, dekat sini, ketika dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Huda, Dungun pada 8 Mei lalu.
Menurutnya, dalam kejadian jam 11 malam, anaknya yang menunggang Yamaha RGV tersembam di atas jalan dan tidak sedarkan diri sebelum ditemui penduduk kampung jam 1 pagi.
Katanya, dia mengetahui kejadian itu selepas penduduk kampung pergi ke kedai makan miliknya di Taman Huda dan memaklumkan mengenai kemalangan terbabit.
“Saya diberitahu anak merempuh bangkai babi hutan di bahu jalan dan dihantar ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini. - Hmetro